SEDARKAN DIRIMU SEBELUM TERLAMBAT
Berkata Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, “Celaka (binasa) engkau! Apakah engkau tidak malu kepada Allah azzawajalla? Engkau anggap wang ringgitmu sebagai Tuhan dan itu sajalah yang engkau fikirkan sehingga engkau melupakan Tuhan sama sekali. Ingatlah nanti sedikit masa lagi engkau akan tahu apa yang bakal berlaku pada dirimu.
Celaka engkau! Tinggalkan perniagaanmu dan hartamu buat anak-anakmu agar mereka dapat mengusahakannya sesuai dengan petunjuk syariat, supaya kemudiannya hatimu boleh bertawakal kepada Allah Taala. Carilah rezekimu dan rezeki mereka daripada Allah dan bukan daripada perusahaan itu, kelak Dia akan menurunkan rezekimu dan rezeki mereka pada tanganmu sambil Dia memberikan kurniaNya, pendekatan denganNya dan kemesraanNya pada hatimu, Dia akan mencukupkan tanggunganmu dan mencukupkanmu daripadaNya, Dia akan mencukupkan mereka sesuai dengan kehendakNya dan bagaimana yang akan Dia kehendaki di masa hadapan seraya dikatakan kepada hatimu,
“Ini bahagianmu dan ini bahagian tanggunganmu.”
Iya macam mana engkau boleh sampai ke maqam ini sedangkan semua umurmu dalam membuat syirik kepada Allah, terlindung daripadaNya dan terhalau daripada rahmatNya? Engkau tidak pernah merasa puas dengan dunia dan terus mengumpulnya!
Tutup semua pintu-pintu hatimu, dan putuskan apa saja yang boleh msuk ke dalamnya dan isikan di dalamnya ingatanmu kepada Allah azzawajalla saja. Kemudian bertaubatlah satu demi satu terhadap apa yang sudah engkau lakukan daripada kesalahan dengan rasa sesalan demi sesalan daripada keberanianmu membuat kesalahan itu dan kurang sopanmu ketika melakukannya.
Kemudian bantu orang-orang yang susah dan yang tidak punya daripada sebahagian hartamu. Jangan lokek (kedekut) lagi, kerana sedikit masa lagi engkau akan meninggalkan semua itu. Orang Mukmin yang yakin bahawa dia akan meninggalkan semua kepunyaannya di dunia dan Akhirat tidak akan lokek lagi.”
HURAIAN
Kemuliaan bulan Muharam, kita berada pada 10 Muharam penuh barakah, kita jadikan titik perubahan kita atau ‘turning point’. Kita telah jelaskan tentang:
1. Peri-penting tunduk kepada syariat Allah
2. Jangan terpedaya pada kehendak, kebiasaan hawa nafsu
3. Jangan panjang angan-angan
4. Kewajiban ikhlas dalam amalan
5. Memperbaharui Islam
6. Sentiasa bertaubat, sebelum ditutup pintu rahmat (belas-kasihan / kasih-sayang) Allah Taala
7. Kembali kepada Allah dengan kebergantungan hati
Bicara kita tentang kebergantungan hati yang paling menggangu manusia ialah tentang rezeki. Manusia mudah berubah kerana rezeki,
- Baik jadi jahat
- Rendah diri jadi sombong
- Ingat Allah, jadi lupa
Nabi SAW menyatakan: Setiap zaman ada ujiannya masing-masing. Ujian umatku ialah harta.
Rasulullah SAW sebut tentang bahaya harta.
Ketika datang rombongan membawa zakat dari Bahrain (dahulunya meliputi Kuwait, Qatar, Emirates), negara antara dua laut.
Rasulullah SAW suatu hari mendapati di waktu Subuh, masjid penuh. Tiba-tiba penuh masjid, sedangkan tak sepenuh itu sebelumnya. Maka Nabi SAW berkata, “Barangkali kamu mendengar kedatangan rombongan membawa harta zakat, sebab itu kamu datang (penuh masjid) supaya kamu dapat bahagian masing-masing?”
Lalu Baginda SAW pun menyatakan, “Aku tak takut kamu diuji kefakiran, tapi aku takut kamu diuji kekayaan lalu kamu berlumba, bermusuhan, berbunuhan.”
Harta ini, asasnya baik dan ia kurniaan Allah (rezeki, dalam maksud umum).
Harta itu umumnya duit, yang menjana duit seperti emas, perak, hartanah, bon dan lain-lain yang menghasilkan pulangan yang boleh ditukar dengan apa benda bentuk matawang.
Dalam Islam bila kita sebut rezeki ia meliputi:
- Kesihatan
- Anak-anak
- Waktu
- Kawan-kawan
- Harta
Kita nak jadikan semua rezeki kita diberkati Allah dengan maksud rezeki itu datang tanpa menjauhkan kita daripada Allah.
Rezeki datang tanpa melupakan kita bahawa Allah memberi, mengurniakannya.
Rezeki datang tanpa menjadikan kita lupa bersyukur.
Rezeki tanda keberkatan ia tak menjadikan kita lupa tanggungjawab, waima:
- Zakat
- Tolong, bantu orang
- Sedekah
Tanda keberkatan rezeki itu dalam perjalanan hidup kita, makin bersungguh-sungguh (mentaati) Allah Taala.
Pekerjaan hari ini sehebat mana pun kebijaksaan kita, bijak bagaimana pun kita ada umur persaraan. Hakim sehebat mana, dia akan bersara. Sehebat Perdana Menteri, Jeneral dia akan kena pencen / bersara. Polis sehebat mana dia kena bersara.
Kebanyakan manusia kalau pekerjaannya bersifat dunia, dia kena pencen.
Sekiranya pekerjaannya bersifat agama, misalnya Tok Guru, dia tak boleh pencen. Ulama tak boleh pencen kerana ia bukan pekerjaan mencari dunia. Mencari Akhirat dia tak pencen sampai mati.
Pekerjaan duniawi, pemain bola sepak, penyanyi, pelakon semua pencen.
Manusia dalam perjalanan hidupnya, ada pencen.
Apa guna pencen?
Pencen untuk tujuan berehat, rehat.. dah penat. Jadikan ia waktu kita gunakan semua keuntungan / kewangan untuk berhibur sedikit, tenangkan diri.
Atau kita katakan, tumpukan masa dengan keluarga lebih banyak.
Dengan cucu-cucu.
Duit banyak maka ‘round’ dunia, negara-negara dan sebagainya.
ISLAM mengajarkan kita,
Dulu kita sibuk cari harta, sehingga mengurangkan masa dengan Tuhan, pergantungan dan tawakal.
Walau pencarian kita itu, halal.
Akhirnya kita sedar, setiap orang tua sedar dia kena ada masa dengan anak-anak lebih. Dengan cucu lebih.
Kita tanya kenapa kena ada masa dengan anak isteri lebih, masa dengan suami, cucu lebih.
“Kami Ustaz masa kerja.. tak dan (tak sempat) itu semua.”
Apa faedahnya?
Dilebihkan masa dengan suami / isteri, anak dan cucu kita kita macam balas kesilapan kita.
Bagaimana masa kita kurang dengan Allah?
Macam mana masa-masa kita lalai dengan Allah, hatta dalam sembahyang kita memikirkan mesyuarat, tiada masa baca al-Quran apatah lagi mempelajarinya?
Kita takda masa mengenal agama kita sendiri. Ketiadaan masa kita memperhambakan diri kepada Allah, melaksanakan perintah agama yang merupakan yang tertinggi.
Persoalan pertama, soalan penting dalam kubur: Apa agamamu?
Tiga asas soalan dalam kubur:
1. Siapa Tuhanmu?
2. Siapa Nabimu?
3. Apa agamamu?
‘Apa agamamu’ maksud apa tanggungjawab pada agamamu? Bagaimana ‘ghairah’ kamu: rasa sayang kamu pada agama.
Kita ada rasa cemburu pada anak isteri, kalau ada yang cuba sakiti anak isteri kita akan marah, cemburu.
Bila ada orang nak ambil harta kita, kita rasa cemburu.
Apakah kita ada cemburu pada agama?
Rasulullah SAW ajarkan sahabat ada rasa cemburu pada agama.
Bila kita nampak agama tidak dikedepankan (tidak diutamakan) maka kita cemburu, kita akan kedepankan agama dalam politik, ekonomi, sosial. Bila anak tidak menutup aurat kita datang cemburu, dia kena tutup aurat.
Bila ekonomi belum bebas riba, kita cemburu.
Biar ekonomi ikut sistem Islam.
Bila mengajak kepada kebaikan tidak dijalankan, bila ia dihalang maka kita cemburu, kita marah. Kenapa?
Cemburu ini sudah sampai masa kita ada masa lebih banyak untuk cemburu pada agama.
Kata Syeikh Abdul Qadir,
Kalau dahulu kesibukan kamu carik rezeki, maka sekarang serah ia kepada anak kamu.
Kita sebut tadi pencen, digunakan masa untuk rehat dan sebagainya. Dalam soal cari duit pun sama, sudah sampai masa berhenti seketika carik duit kalau dengan pencarian duit itu melalaikan kita daripada agama atau mengurangkan kualiti agama.
Tapi kalau cari dunia tapi tak mengurangkan kualiti agama, bahkan menambah kualiti kerana dilancarkan ini jihad ekonomi, jihad pendidikan dan sekian jihad maka itu bagus.
Tapi tak ramai orang buat macam tu.
“Ustaz saya bukak restoran, saya tak pencen. Ini cara menyediakan makanan halal fardhu kifayah.”
Ini bagus.
Tapi kita cerita orang yang dalam pencarian hartanya, dia lalai.
Solat berjemaah tak pergi,
Kuliah agama tak pernah,
Baca al-Quran pun tak.
Bahkan kadang-kala dia dengan mudah, dia kata,
“Saya hanya jalankan tugas..”
Sehingga dia buat benda-benda mungkar, melanggar syariat.
Dia kata, “Kita kan kena dengar cakap boss, menjalankan tugas.”
Dia lupa, akalnya tak berperanan bagi melihat apa yang lebih baik.
Apa yang lebih bagus.
Pernah suatu ketika, pemimpin zalim menangkap sekumpulan penentangnya dan dibicarakan. Sebahagian dihukum bunuh, sebahagian lagi dibebaskan.
Namun cara yang dibebaskan ini, dia mesti hukum bunuh rakannya yang dihukum bunuh.
Dia diberi senapang, ditembak.
Wujudkan kebencian sesama.
Maka bukan pemerintah yang bunuh tapi syarat yang nak dibebaskan, dia mesti bunuh rakannya sendiri. Lalu orang itu mungkin kata, dia hanya jalankan tugas.
Dalam Islam, dalam bab paksaan. Apakah seorang boleh berkata, “Saya dipaksa untuk membunuh, kalau tidak saya akan dibunuh.”
Jawapannya tak boleh, kerana dia meletakkan nyawa orang lain sebagai galang-ganti nyawa dia. Baik dia mati!
Sebab itu dikatakan (dalam Bahasa Arab, maksudnya), “Jadilah hamba yang dibunuh, jangan jadi hamba pembunuh.”
Kalaulah kita dipaksa bunuh orang untuk kita hidup, baik saya mati. Itu baik, itu betul. Kalau saya membunuh saya berdosa, walau dengan alasan menjalankan tugas.
Ramai orang bila dia jadi polis, askar, pemerintah zalim suruh bunuh walau orang itu tak bersalah, atau dia akan dibunuh. Maka dia pun membunuh. Maka dia berdosa besar, dia tetap bertanggungjawab pada jenayah itu.
Dia tak boleh kata,
Dia hanya menjalankan tugas.
Ini orang-orang yang atas nilai menjalankan tugas sehingga akal hilang, apatah lagi agamanya?
Betul kita menjalankan tugas, selagimana tugas itu tidak mengurangkan nilai agama. Bila ditugaskan merampas harta orang miskin hanya dia takda lesen? Ini kezaliman.
Kita kena ada budi-bicara yang baik, bahkan kita selamatkan dia.
Kalau dia dirampas harta, dah dia takda harta.
Itu saja harta dia ada.
Orang yang kata, “Saya hanya jalankan tugas.”
Orang-orang miskin ini akan berdoa kepada Allah. Tiada tempat mengadu melainkan Allah. Maka pasti dia akan terkena akibatnya, cepat atau lambat. Maka hati-hati orang yang beri alasan,
“Saya hanya jalankan tugas.”
Lihat apa kamu ditugaskan?
Aktifkan agama kamu, kecemburuannya.
Aktifkan dalam hati bahawa hukum Allah mendahului hukum manusia.
Di situ kamu akan bertindak lebih baik, lebih waras.
Kata Syeikh Abdul Qadir,
Bila kamu sibuk cari harta sehingga kurang nilai masa dengan Allah Taala, kualiti dan kemanisan ibadat, baik kamu serah (urusan cari rezeki) kepada anak-anak kamu.
Anak-anak kamu akan menjana rezeki buat kamu, dan lakukan dengan cara yang betul sehingga Allah jadikan rezeki itu bukan kerana usaha kamu, tapi kurniaan Allah.
BAGAIMANA MENJADIKAN REZEKI DIBERKATI?
Manusia secara umum dengan akalnya yang sempit ingat rezeki itu daripada kerja dia. Hakikatnya rezeki itu datang daripada kurniaan Allah Taala.
Bagaimana kita nak membuktikan rezeki itu kurniaan Allah, bukan daripada usaha dan industri, pekerjaan kita?
1. Tingkatkan takwa kita kepada Allah
Allah berfirman: Siapa bertakwa kepada Allah, akan dijadikan baginya jalan keluar dan diberikan rezeki tanpa disangka-sangka.
2. Banyakkan istighfar, taubat
Hanya dengan memperbanyak istighfar, taubat kita akan lihat bagaimana rezeki itu datang, rezeki itu bagai terbeku tapi bila kita istighfar, rezeki itu mengalir.
3. Jadikan rezeki itu bagi menghubungkan silaturrahim
Kita takkan nampak rezeki itu kerana pekerjaan kita, tapi kurniaan Allah Taala.
4. Keluarkan zakat
Setiap rezeki kita keluarkan zakat, dan perbanyakkan sedekah ia memberkati rezeki kita.
5. Kuatkan tawakal kepada Allah
Sungguh-sungguh tawakal.
6. Berdoa selalu kepada Allah
Berdoalah supaya diberi rezeki tanpa menjauhkan daripada Allah, dan diberi rezeki dengan rahmat, redhaNya. Bukan kejauhanNya.
Dengan cara-cara ini dengan bertakwa, istighfar, jaga silaturrahim, berzakat bersedekah, berdoa dan bertawakal kepadanya maka ini menjadikan rezeki datang dengan keberkatan, penuh kebaikan.
Apatah lagi kita dalam pencarian rezeki dengan niat yang baik?
“Niat saya untuk menjaga maruah agama, menguatkan agama, membantu jihad agama dan menjalankan tanggungjawab, nafkah kepada anak isteri.”
Bulan Muharam ini sunat memperluaskan perbelanjaan kepada keluarga, anak isteri, bahkan untuk dinikmati kepada orang ramai. Mengambil keberkatan bulan Muharam yang mulia ini.
Bukan sekadar disyariatkan berpuasa (9 Muharam) dan 10 Muharam, bahkan disunatkan memperluaskan perbelanjaan kita pada perkara-perkara yang baik, maksudnya kepada anak-anak, menaja orang berbuka puasa.
Semua ini menambah keberkatan rezeki kita.
Kata Syeikh Abdul Qadir,
Kalau kamu sampai ke maqam ini maka kamu akan dapati bagaimana Allah Taala akan mencukupkan rezeki kamu, dan rezeki orang di bawah tanggunganmu –
Sehingga kamu mengatakan,
“Ini bahagian (rezeki) saya dan ini bahagian tanggungan saya.”
Tanpa kamu perlu disibukkan dengannya, dan tanpa kamu dilalaikan.
Kita bila tekankan tentang rezeki penuh barokah, orang yang ada rezeki berkat, masa berkat, kesihatan berkat, keluarga berkat, harta berkat semuanya ini tidak mengurangkan nilainya bersyukur kepada Allah, mendekati Allah, beribadat kepadaNya dan menambah kesolehannya dan menjadikan dia sentiasa tunduk kepada perintah Allah.
Perhatikan rezeki yang datang kepada kita, apakah ia menjauhkan kita daripada Allah ia musibah. Kalau rezeki datang menyebabkan sombong, ini juga musibah. Tapi rezeki yang datang menyebabkan kita bersyukur dan redha maka ini nikmat.
Kalau rezeki ini menjadikan kita bertungkus-lumus memerah otak dan keringat, pelbagai strategi dan perancangan lalu kita dapat. Kita nampak keringat, peluh dan segala perbelanjaan tapi kita akur hakikat, ‘Ini semua kurniaan Allah.’ Orang ini, Allah akan akan tambah rezekinya.
Tapi orang yang kata ini semua keringat, peluh, idea, strategi hebat kerana itu dia berjaya?
Kelak Allah akan gagalkan satu-persatu strategi dia.
Rezeki ini bertambah bila kita melihat ia kurniaan Allah. Ini disebutkan oleh Allah,
لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌۭ
"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".
(Surah Ibrahim, 7)
- Kalau kamu bersyukur Allah tambah.
Contoh, saya dapat anak 5 orang, lalu saya kata orang itu tak cukup kelakiannya? Tidak, ini kurniaan Allah. Anak berapa pun.
Dan orang ada isteri lebih, kerana kehebatannya?
Tak, ini kurniaan Allah kepada kamu, ujian.
Yang takda jodoh bukan tanda awak tak laku, Allah uji awak. Kalau awak bersabar.. awal dapat (ganjaran) mati syahid.
Disebutkan dalam hadis Nabi SAW bahawa mana-mana wanita yang bersabar, kerana tidak mendapat jodoh dan dia mati, maka matinya syahid.
Orang lelaki sebab dia mencari, biasa lelaki ni payah bujang kerana dia mencari. Tapi orang perempuan menunggu. Ada setengah perempuan berani dia tawarkan diri (untuk dijadikan isteri).
Tapi wanita yang lain takut nak tawarkan diri, takut orang tak berkenan (tak suka). Dia malu. Sebab itu dijadikan ada orang tengah (dalam urusan jodoh) supaya perempuan itu tak malu. Hatta dia berurusan dengan orang baik-baik, kalaupun ditolak akan ditolak dengan cara baik.
Biasa lelaki baik ni, dia tolak maka dia diam.
Orang perempuan yang tawarkan dirinya, dan lelaki itu mendiamkan diri (menolak lamaran) itu kerana kemuliaan (memuliakan wanita) itu. Kalaupun dijawab, dijawab (ditolak) dengan sopan.
Dia akan kata, “Saya tak punya kemampuan berkahwin, tak berapa sihat ..”
Dilihat kekurangan dirinya, takkan ditolak (lamaran) seorang perempuan dengan melihat kekurangan perempuan itu daripada dirinya. Ini orang-orang baik.
Kalau orang tak baik, dijawab (semberono) saja.
Alasan taknak kahwin wanita itu, dengan cara tak berakhlak.
Jangan kita ucapkan ungkapan menghina. Cukuplah kita menolak satu kesalahan baginya, menghina menambah (kesedihannya).
Baik lelaki menolak lamaran perempuan, atau perempuan menolak lamaran lelaki.
Lelaki bila meminang seorang perempuan (dan ditolak), maka janganlah perempuan itu menyakitkan hati lelaki itu. Cukuplah kata, “Saya belum bersedia berkahwin.”
Jangan kata, “Saya taknak kahwin dengan awak sebab awak muka bulat sangat.”
Jangan. Cukup kita kata, “Saya tak bersedia berkahwin, saya ada tanggungan Ibu Ayah, ..”
Sebutlah sesuatu yang menyatakan penolakan itu kerana kita, bukan dia. Ini cara orang ada akhlak.
Kalau orang takda akhlak mudah dia menghina orang, dia lupa penghinaan itu bak meludah ke langit kelak menimpa wajahnya. Kelak dia lihat orang dihina akan naik lebih tinggi dan dia akan menyesal.
Maka bila bercakap tentang kesabaran belum bertemu jodoh, maka ini satu pahala besar. Maka semua rezeki kita dapat kita melihat ia kurniaan Allah, dan rezeki yang terhalang kita juga melihat ia kurniaan Allah.
Kata Imam Syekh Ibn ‘Atha’illah: “Ditahan kamu daripada suatu kurniaan maka itulah kurniaan.”
Kalau kita tak dapat sesuatu itulah kemuliaan.
Kadang-kadang kita nak itu dan ini, tapi kita tak tahu kesan benda yang kita nak itu membahayakan. Maka bersyukur kepada Allah dengan apa yang Allah kurniakan.
Kata Syeikh Abdul Qadir,
Kalau kamu nak sampai ke maqam ini jangan pernah mensyirikkan Allah. Kalau digunakan usia untuk mensyirikkan Allah, kamu akan terlindung daripada rahmatNya.
‘syirik’ ini bukan tentang menyembah berhala. Ia takkan berlaku kepada umat Islam.
Disebutkan dalam hadis Nabi SAW,
Syaitan sudah berputus asa, kecewa yang dia takkan lagi disembah oleh orang Islam. Takkan.
Bagaimana Syaitan dalam rupa mensyirikkan manusia?
Meletakkan pergantungan kepada (selain Allah) iaitu orang itu, orang itu. Kalaulah tak usaha tak jadi macam ni.
Segala sebab-musabab hanya ikhtiar, bukan pergantungan.
‘Saya keluar pagi balik petang itu ikhtiar, bukan bergantung.’
Takda saya kata, saya tak keluar rumah tak duit.
Bukan. Itu ikhtiar.
Berubat, itu ikhtiar. Bukan pergantungan.
Kita kena tahu, sebab ‘asbab’ itu ikhtiar bukan natijah. “Oh sebab saya usaha macam ni maka dapatlah saya anak 10 orang.”
Benda itu kita katakan hanyalah satu ikhtiar.
Ada orang tak buat pun macam awak, anak dia 12 orang.
Anak dia lebih ramai.
Kita akur secara hakikat bahawa kebergantunga kita bukan pada sebab, usaha tapi itu ikhtiar. Kebergantungan kita kepada Allah, kalau hari ini kita belum dapat jodoh kita kata, “Ini dengan izin Allah.”
Kalau hari ini kita belum dapat zuriat, belum dapat anak kita tahu ini ketentuan Allah. Kalau hari ini kita dimusuhi didengki, maka kita tahu ini ketentuan Allah untuk kita bergantung kepadaNya. Kalau hari ini kita dizalimi oleh orang dia rasa lebih berkuasa maka ini ketentuan Allah.
Dia bukan gagah, tapi Allah sedang menguji untuk kita melihat kekuasaan sebenar milik Allah lalu kita berdoa bermunajat. Lalu Allah tunjuk kegagalan orang-orang mendakwa berkuasa untuk menzalimi kita.
Kita lihat orang ini diktator, dicari salah dan menghukum tanpa ada pengadilan, bahkan menakutkan kita dengan kuasa dia ada, salah-guna kuasa.
Maka sabar.
Ada suami disalah-guna kuasa lalu menzalimi isterinya.
Ada anak, ibu ayah menyalah-guna kuasa lalu dihukum anak tanpa sebab.
Ada Pemimpin, orang berjawatan dengan jawatannya dizalimi orang bawahan.
Kita ingat, semua ini berlaku dengan izin Allah.
Jangan beriktikad seorang itu berkuasa dan dia pasti merosakkan kita?
Tidak. Ini semua dengan izin Allah. Mereka semua makhluk macam kita, cuma mereka diamanahkan kuasa sedikit.
Suami ni Allah beri dia kuasa sikit,
Pemimpin, Allah beri dia kuasa sedikit.
Semua itu akan hilang.
Pengadilan di dunia takkan selesai, akan ada pengadilan di Akhirat.
Sebab itu jiwa kita jangan syirik.
Kata Syeikh Abdul Qadir, tutup semua pintu hati dan putuskan apa sahaja yang ada di dalamnya selain Allah. Ingatlah Allah.
Apakah proses, cara nak ingat Allah?
1. Bertaubat
Hati bila berkarat kita tak mampu ingat Allah
2. Memperbanyak zikrullah
Melalui solat, baca al-Quran, berzikir
3. Melakukan amal kebaikan, ketaatan kepada Allah
4. Mendampingi orang-orang soleh
5. Duduk dalam majlis ilmu
Mencari jawapan hidup dalam majlis ilmu
Jawapan hidup sebenar kita akan jumpa dalam majlis ilmu, lebih banyak kita jumpa di tempat lain. Lubuk kepada jawapan, semua persoalan hidup (didapati) dalam majlis ilmu.
Tuan-tuan yang jarang duduk majlis ilmu maka hidupnya penuh persoalan, pertanyaan dan keraguan. Hidupnya penuh dengan pengaruh tidak baik.
Majlis ilmu yang bagaimana?
Bukan yang zahirnya majlis ilmu tapi nak jatuhkan, aibkan orang itu dan ini. Ini bukan majlis ilmu. Majlis ilmu itu mendekatkan kita dengan Allah sehingga kita nampak aib, kekurangan diri. Sehingga nampak jalan memperbaiki diri.
Tapi kalau orang ini dalam majlis ilmu dia nak jatuhkan semua orang, dan naikkan dirinya? Maka dia-lah terlebih baik dan bagus? Ini bukan majlis ilmu, inilah fitnah akhir zaman di mana orang menggunakan ‘platform’ majlis ilmu untuk menaikkan dirinya, menjatuhkan orang lain.
Dia lupa amanah,
Dia lupa kehendak orang-orang yang datang.
Orang-orang yang datang majlis ilmu, semua nak baiki diri, jadi baik. Dia bukan nak dengar kita cakap, “Orang sekian tak bagus..”
Orang datang bukan nak dengar orang itu buruk, teruk. Bukan macam tu.
Kalau begitu majlis ilmu, ia akan jadi racun.
Dipanggil ‘doktor’ tak terlatih. Patut diberi obat tapi diberinya racun.
Kerja doktor bila datang pesakit, untuk sembuhkan pesakit tu. Orang-orang yang datang majlis ilmu ini umpama pesakit, maka sembuhkan dia. Jangan kita tambah dia, sudahlah dia jahil tapi ditambah kebenciannya. Akhir dia duduk majlis ilmu, bertambah musuh.
Kita tak mencari musuh dalam majlis ilmu, kita mencari hidayah.
Kita mencari popular dalam majlis ilmu, tapi kita mencari taufik.
Kita tak mencari dunia dalam majlis ilmu, tapi kita mencari Akhirat.
Kita bukan mencari kegembiraan dunia dalam majlis ilmu, kita mencari kegembiraan yang bersifat dunia dan Akhirat.
Kita bukan mencari populariti dalam majlis ilmu tapi mencari sifat tawaduk yang hilang dalam kehidupan.
Sifat rendah diri,
Perhambaan.
Datang kita ke majlis ilmu, datang sifat perhambaan, tawaduk, keinsafan, kecuaian kita yang selama ini baru kita sedar, dah banyak masa dihabiskan buat maksiat – lupa Allah.
Ini majlis ilmu, kita akan rasa keberkatan, perubahan, betapa kita ingin buat baik pada suami / isteri, anak-anak. Kita rasa nak satukan umat Islam supaya mereka bersatu. Supaya mereka kenal musuh (sebenar) iaitu orang-orang yang ingin menjahanamkan Islam, menjatuhkan Islam.
Inilah majlis ilmu.
Kata Syeikh Abdul Qadir,
“Bantu orang-orang yang susah dan yang tidak punya daripada sebahagian hartamu. Jangan lokek (kedekut) lagi, kerana sedikit masa lagi engkau akan meninggalkan semua itu. Orang Mukmin yang yakin bahawa dia akan meninggalkan semua kepunyaannya di dunia dan Akhirat tidak akan lokek lagi.”
- Bila kamu punya rezeki jangan lokek, jangan kedekut.
Syiar orang-orang baik, orang soleh ialah pemurah.
Kita dah sebut bahawa takda seorang pun para Nabi yang kedekut. Semua para Nabi, kerana sifatnya pemurah. Orang beriman yang ikut jejak-langkah Nabi sifatnya pemurah.
Belajarlah pemurah, belanja kawan.
Belajar pemurah kepada isteri, anak-anak. Lebihkan makan minum mereka.
Jangan berkira.
Isteri kata, “Bang tolong beli tomyam.”
Dia pun guna ‘sifir’, “Abang lupa.” (tak dibeli tomyam).
Kesian isteri dia.
Jadilah suami yang baik.
Isteri kata, “Bang beli tomyam.”
Suami pun bawak balik tomyam, siakap, telur bungkus, sekian lauk-lauk. Isteri hanya pesan tomyam tapi suami bawak balik lebih.
Jadilah orang yang pemurah kepada isteri, kalau isteri kita menyaksikan kita (suami) pemurah, memang kita akan pemurah kepada orang lain. Tapi kalau isteri kata,
“Suami saya berkira sangat Ustaz.. berkira.. saya order tomyam tapi dia ‘claim’ (minta bayaran) balik. Dia claim, triple!”
Ini macam orang dapat projek kerajaan, claim.
Tomyam RM5, tapi suami mintak dibayar balik RM15.
Dia kata termasuk duit kereta, masa dia menunggu.
Suami yang kedekut dengan pasangan.
Isteri pun kadang bila suami pesan beli sekian-sekian, dia minta suami duit. Jadilah pemurah kepada suami. Jadilah orang yang pemurah.
Duit memang tanggungjawab suami, tapi siapa (antara suami dan isteri) yang paling pemurah. Jadilah suami / isteri yang pemurah.
Bila suami bersifat baik pada kita, maka berlaku baiklah pada dia.
Ibu-ibu bolehlah kata sekian-sekian kalau memang suami itu berkira, kedekut. Tapi bila suami itu pemurah maka kita pun tunjuk pemurah.
Ini rumahtangga yang barokah.
Jangan berkira dengan anak isteri, suami kita.
Jangan berkira dengan orang-orang dekat.
Kita bila nak bersahabat, ada modalnya.
Nak bersahabat baik tapi kedekut, nak bersahabat baik dengan kita maka pemurahlah masa dengan dia, pemurah tenaga, harta dengan dia barulah dia jadi sahabat baik dunia Akhirat.
Semua orang nak dapat kawan yang baik, dia mesti melabur mendapat kawan yang baik. Itu pelaburan penuh keberkatan.
Kawan ialah pelaburan kita.
Kalau ada kawan, ajak dia datang rumah. Jamu dia betul-betul.
Ada kesempatan untuk memberi dia sesuatu hadiah, beri hadiah pada dia.
Nabi SAW kata, “Saling memberi hadiah, saling berkasih-sayang.”
Kalau kita ada kelapangan waktu, tanya kawan, “Awak ada nak mintak saya tolong ke? Saya lapang ni.”
Dia telefon, “Kereta saya rosak..”
“Takpa saya datang sekarang.”
Ini kawan yang baik. Ada ‘pelaburan’, kerana kelak kita akan dapat yang sama kerana kita melabur. Tapi bukanlah kita tagih benda tu tapi Allah sebut dalam al-Quran,
هَلْ جَزَآءُ ٱلْإِحْسَـٰنِ إِلَّا ٱلْإِحْسَـٰنُ
(Surah Ar-Rahman, 60)
- Bukankah kebaikan itu tetap akan dibalas dengan kebaikan?
Pegang asas ini.
Pencarian rezeki kita perlu ada satu tempoh. Kita perlu serah kepada anak-anak, kalau hari ini saya dah pencen, maka gunakan masa pencen beberapa tahun sebelum kita menemui Allah (meninggal dunia) untuk memperbanyak masa dengan Allah, memperbaiki kecuaian kita.
Bukan masa pencen untuk banyakkan masa hanya dengan anak isteri, boleh bagus tapi keutamaan kita dah nak kembali kepada Allah.
Kita nak bawak apa jumpa Allah?
Sijil? Pengalaman kerja? Pingat?
Tak laku.
Tapi amal soleh.
Mulakan dengan taubat, zikir, ketaatan, kawan yang baik, duduk di majlis ilmu kelak kita akan tahu cara mendekatkan diri kepada Allah dengan cara sendiri.
Allah akan beri ilham, tunjuk jalan kepada kita.
TOKKU PASIR GUDANG

No comments:
Post a Comment