Tuesday, August 26, 2025

TIGA AMALAN BULAN RABIUL AWAL

 Tiga Amalan Bulan Rabiulawal :

1) Perbanyakkan Selawat
Tingkatkan jumlah selawat kita kepada RASULULLAH SAW. Jika biasa sehari 100, naikkan kepada 500 atau sehari 1000. Semakin banyak, semakin baik.
Kerana setiap selawat kita akan disampaikan kepada Baginda. Moga dengan selawat yang ikhlas, kita akan meraih kasih sayang RASULULLAH SAW pada bulan kelahiran Baginda ini.
2) Hidupkan Sunnah Nabi
Sunnah-sunnah Nabi, kita pakat-pakatlah hidupkan. Apa-apa sunnah yang kita teringat, yang kita pernah mengaji dulu, cubalah kita praktikkan.
Tambahan pula dalam bulan Rabiulawal ni, elok sangat kalau kita lebihkan amalan sunnah.
3) Baca kitab-kitab berkaitan NABI MUHAMMAD SAW
Bacalah kitab tentang NABI MUHAMMAD SAW seperti Kitab Syamail, kitab sirah ataupun kitab kisah Nabi dan para sahabat. Mesti ada sekurang-kurangnya satu buku di rumah kita. Sehari baca, walaupun hanya sebaris.
Insya-Allah, bila habis Rabiulawal, kita akan rasa semakin kuat cinta dan hubungan dengan RASULULLAH SAW.
Kalau kita meninggal dunia dalam waktu ini, insya-Allah kita akan bertemu RASULULLAH di alam barzakh, dapat syafaat, dan masuk syurga bersama Nabi SAW sebab Nabi sendiri yang jamin perkara ini.
أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ
“ Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai.” (HR. Bukhari)

Kalau kita benar-benar cinta RASULULLAH, mati saja kita akan berhimpun dengan Baginda.

Itulah cita-cita kita:

- Berhimpun dengan RASULULLAH di barzakh,
- Berhimpun dengan Baginda di Mahsyar,
- Dan berhimpun bersama RASULULLAH di syurga.
Maka, kuatkanlah cinta kita kepada RASULULLAH SAW.

USTAZ MOHAMAD MOQTI
Kuliah Maghrib Masjid As-saadah.Tebengau.
24 Ogos 2025

No comments:

Post a Comment