Saturday, January 31, 2026

BACALAH AL QURAN

 


Semalam, saya menerima satu mesej yang sangat panjang daripada seorang wanita.

Bahasanya sederhana, ayatnya tidak puitis rapi, ada satu kalimah diulang ulang. Tetapi sarat dengan rasa yang lama dipendam.
Dia bercerita tentang hidup yang bermula terlalu awal, tentang ujian yang datang bertimpa-timpa, dan tentang bagaimana selama puluhan tahun dia belajar bertahan — bukan kerana dia kuat, tetapi kerana dia tiada pilihan lain.
.
.
Dia sedar dia bukan lagi berada di tahap sabar yang tenang, tetapi di tahap tahammul — sekadar bertahan supaya tidak tumbang.
Yang paling menyentuh hati saya ialah satu perkara:
dia rasa bersalah setiap kali dia meluah.
.
Walaupun dia memilih orang, walaupun niatnya hanya untuk mencari kekuatan, dia tetap dihantui soalan —
“adakah aku membuka aib? adakah aku gagal bergantung pada Allah?”
Mesej itu membuatkan saya terdiam lama.
-
Saya teringat kisah Sayyidah Khaulah binti Tha’labah.
Seorang wanita yang datang kepada Nabi ﷺ dalam keadaan hati yang sangat berat, mengadu tentang rumah tangganya dan kata-kata suami yang menekan jiwanya.
Allah tidak menyuruh beliau diam.
Allah tidak menafikan perasaannya.
.
Sebaliknya Allah menurunkan ayat dalam Surah al-Mujadalah, yang bermula dengan maksud:
“Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang mengadu…”
Ayat itu seolah-olah memeluk hati wanita-wanita yang terlalu lama bertahan.
Bahawa bila seorang wanita meluah bukan untuk menjatuhkan, tetapi untuk terus hidup dan terus kuat — Allah mendengar.
.
.
Saya juga teringat kisah Saidina Hanzalah al-Usayyidi, seorang sahabat Nabi ﷺ.
Beliau pernah mengadu imannya naik turun — kuat bila bersama Nabi, lemah bila kembali kepada kehidupan seharian.
Nabi ﷺ tidak menyalahkannya.
Baginda menenangkan dan mengingatkan bahawa itu fitrah manusia.
Kita bukan malaikat.
Kita ada masa kuat, dan ada masa sangat letih.
-
Dari kisah-kisah ini, saya belajar satu perkara penting:
mengadu kerana keperluan hati bukan kegagalan iman.
Meluah untuk mencari sokongan bukan tanda kurang redha.
.
Dan rasa bersalah yang hadir selepas itu selalunya tanda hati masih hidup dan masih mahu menjaga hubungan dengan Allah.
-
Saya kongsikan ini bukan sebagai nasihat, cuma sebagai refleksi dan pengalaman sendiri — tentang perkara kecil yang membantu saya bertahan dengan lebih lembut.
Saya ada satu balang kesyukuran.
Apa saja nikmat, walaupun kecil dan ringkas — yang baru saya sedar atau yang selama ini terlepas pandang — saya tulis dan masukkan ke dalam balang itu.
.
Sebab bila kita terlalu lama bertahan, kita mudah lupa bahawa kita sebenarnya sudah memberi dan melalui lebih daripada biasa.
-
Saya juga ada sebuah buku.
Bukan diari yang cantik, cuma buku conteng.
Apa saja yang bermain di fikiran saya tulis di situ — perkara tentang takdir yang saya belum faham, rasa yang saya tak pandai luahkan dengan kata-kata.
Saya tulis dengan rasa, seolah-olah Allah pasti membaca dan lebih tahu.
Kadang saya tulis saja apa soalan atau kadang macam bengang apa². Saya tak faham. Tapi saya amat yakin Allah baca dan faham itu. Nanti Allah fahamkan hikmah kemudian.
-
Dan saya cuba isi hari-hari dengan majlis ilmu, perlahan-lahan.
Bukan untuk jadi sempurna, tetapi supaya hati ada tempat berpaut dan fikiran ada arah.
Bila larut dalam ngaji, hati jadi sibuk dengan ilmu, dan beban dalam kepala perlahan-lahan reda.
.
Namun ada juga saatnya, kita sudah terlalu penat menjelaskan.
Penat meluah.
Penat minta difahami.
Seolah-olah dunia tidak lagi mengerti bahasa hati kita.
Seolah-olah kita menjerit di tengah lautan — suara ada, tapi tak sampai ke sesiapa.
-
Dalam keadaan begitu, saya teringat satu perkongsian Ustazah Halimah Alaydrus tentang Selawat Adrikni — selawat orang yang sedang tenggelam, yang sudah tidak tahu hendak meminta bagaimana lagi.
“Adrikni, ya Rasulullah…”
Tolong aku, wahai Rasulullah…
.
Bila kita banyak berselawat ke atas Nabi Muhammad ﷺ,
kita tidak perlu terlalu lelah menyusun hajat satu persatu.
Kerana selawat itu sendiri mendekatkan kita kepada Baginda,
dan Nabi ﷺ sendiri yang menyampaikan hajat hamba kepada Allah.
Dan kita bertanya perlahan dalam hati —
adakah Allah pernah menolak hajat kekasih-Nya, Nabi Muhammad ﷺ?
-
Maka bila dunia terasa terlalu bising,
dan hati terasa terlalu sunyi,
dekatilah Nabi Muhammad ﷺ.
Ucapkanlah Selawat Adrikni,
dan perbanyakkanlah juga selawat-selawat lain,
sebagai tanda cinta, sebagai tempat berpaut,
sebagai cara paling lembut untuk berkata:
“Ya Allah, aku sudah penat… tapi aku masih mahu kembali kepada-Mu.”
الصَلاَةُ وَالسَّلَامُ عَلَيْكَ يَا سَيِّدِيْ يَا رَسُوْلَ اللهِ
خُذْ بِيَدِيْ قَلَّتْ حِيْلَتِيْ أَدْرِكْنِيْ
“Rahmat dan sejahtera semoga melimpah kepadamu, wahai junjunganku Rasulullah.
Peganglah tanganku, sedikit sekali upayaku, maka temukanlah aku.”
-
Jika hari ini kita belum mampu memahami semuanya,
jika hati masih berat dan langkah masih perlahan,
biarlah selawat menjadi bahasa kita kepada Allah.
Kerana Allah Maha Mendengar.
Dan Allah tidak pernah mensia-siakan
hamba yang datang kepada-Nya
dengan hati yang jujur dan penuh harap.
-
Tulisan ini bukan untuk yang sudah kuat,
tetapi untuk yang sedang belajar bertahan dengan lebih lembut.
Jika ia sampai ke hati seseorang,
moga ia menjadi asbab lega dan jalan pulang.
Doakan wanita kuat itu.
Dan kita saling berempati.
-
Begitulah,
Menulis bukan sebab sempurna tapi sebagai hambaNya.

No comments:

Post a Comment