Friday, April 18, 2025

Seperti yang kita tahu, ilmu itu merupakan cahaya, dan ianya tidak akan memasuki hati-hati yang gelap. Tetapi kita lihat, kawan kita yang berjudi, yang minum arak, boleh berjaya pula, sedangkan kita terkial-kial walaupun sudah berusaha.

Kita tahu bahawa, siapa yang berbuat baik, taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya, tetapi kita lihat, kawan kita ini tidak solat, tetapi bisnesnya menjadi, kita pula hidup dengan penuh cabaran dan dugaan.

Kita juga tahu bahawa, ISLAM ini agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang bukan ISLAM itu lebih berjaya, dan ummat ISLAM tertindas dalam kehidupan sempit lagi derita.

Jika orang bertanya kepada kita. Kenapa begitu? Sekarang ini, yang manakah benar? Adakah kita faham selama ini tidak benar?

istidraj, tak solat tapi berjaya, tak solat tapi kaya, tak solat tapi mewah, tak solat tapi gaji tinggi, tak solat tapi duit banyak

Maka saya hendak bertanya kepada anda.

Adakah anda tahu apa itu istidraj?

Istidraj ini adalah satu kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malah seorang pembuat maksiat yang tegar.

Kenapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj? Apakakah maksud istidraj?

Istidraj adalah, apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dariNya.

Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT.


Contoh manusia yang mendapat istidraj ini banyak. Saya bagi contoh yang paling mudah. Salah seorang darinya adalah Qarun.

Adakah anda kenal kepada Qarun? Dia adalah seorang manusiayang teramat kaya. Diriwayatkan bahawa, kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Perkara ini hendak menyatakan betapa kayanya dia.

Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah, sedang yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan.

Tetapi bila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab, “Tidak, semua ini adalah hasil dari ilmuku”

Lihat apa kata Qarun. Tidak, semua ini adalah hasil dari… ILMUKU. Dia semakin jauh dari ALLAH, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri daripada orang miskin dan hamba.

Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya.

Malah, kisahnya telah diabadikan di dalam Al-Quran.

istidraj, tak solat tapi berjaya, tak solat tapi kaya, tak solat tapi mewah, tak solat tapi gaji tinggi, tak solat tapi duit banyak

Jadi sekarang, apa yang kita mahu?

Sebab itulah, saya hendak mengajak saudara-saudari berfikir, apakah yang akan timbul di dalam hati kalian apabila kalian ini jenis yang melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kalian berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan. Apakah agaknya yang akan timbul dalam jiwa kalian?

Saya yakin, 99% akan merasa begini, “Lihat, saya tak solat pun boleh berjaya. Siapa kata solat itu boleh membawa kejayaan?”

Apakah yang akan terjadi kepada anda ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda lupa bahawa yang memberi kejayaan adalah Allah SWT, dan inilah buktinya ada semakin jauh dari ALLAH. Itulah istidraj.

Maka jangan gusar bila anda belum atau tidak berjaya. Cuba lagi. Hubungan keimanan anda dengan ALLAH itulah yang pertama sekali perlu anda perhatikan. Jika anda berjaya membina hubungan keimanan yang baik, insyaALLAH, badai sekalipun, anda akan mampu melaluinya.

Sebenarnya ALLAH suka menguji hamba-hambaNya yang beriman. Terdapat satu kisah yang saya suka baca ketika saya masih kecil.

Terdapat dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala, dan seorang lagi muslim yang taat kepada ALLAH.

Ketika menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang muslim membaca bismillah.

Bila jala diangkat, yang menyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir tiada ikan untuknya pada hari itu.

Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada ALLAH.

“Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu, KAU tidak memberikan DIA apa-apa”

ALLAH menjawab, “Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti dalam NERAKA. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadaNya? Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU hendak memberikannya ganjaran syurga, maka AKU mengujinya untuk melihat kebenaran imanNya”.

Lihatlah, jangan anda kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walau sudah belajar siang malam. Gagal dalam perniagaan walaupun hebat menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian dari ujian ALLAH. ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi.

Bukankah ALLAH SWT ada berfirman, “Apakah kamu mengira KAMI akan membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu belum diuji?”

Jika gagal terhadap satu-satu perkara, anda masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. InsyaALLAH, ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda. Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita.

Maka sebenarnya, bila hidup kita digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada kita.

Mustahil anda suka senang sebentar di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana. Anda mahukan istidraj?

Saya yakin tidak..

Anda tenang sekarang? aAnda wajib untuk tidak berasa tenang jika anda berbuat dosa, dan anda berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah hubungan kita dengan ALLAH SWT.

kredit: IslamItuIndah
..........................................................................................................

UJIAN ISTIDRAJ BUAT INSAN

Ada golongan manusia yang taat, tetapi dia hidup dalam kesempitan manakala ada pula golongan bergelumang dosa, namun memperoleh nikmat kesenangan.

Allah SWT berkuasa melakukan apa saja yang dikehendaki-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya, “Jadilah!”, maka jadilah sesuatu itu.” (Surah Yasin, ayat 82)

Sebagai hamba yang taat, setiap ketentuan Allah pastinya diterima dengan penuh keredaan. Kewajipan sebagai seorang Muslim mesti diteruskan meskipun terdapat harapan dan impian yang masih belum dimakbulkan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan apabila para hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Dalam kalangan kita ada yang diuji dengan pelbagai pemberian nikmat, namun dirinya terus bergelumang maksiat serta melanggar perintah Allah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kemudian apabila mereka melupakan apa yang diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat pertolongan).” (Surah al-An’am, ayat 44)

Itulah yang dinamakan istidraj. Pemberian itu sebenarnya tidak diredai Allah SWT. Manusia yang diuji dengan istidraj akan memperoleh pelbagai nikmat dunia sama ada dalam bentuk kekayaan, kejayaan, pangkat dan gelaran, pengiktirafan dan sanjungan.

Namun semua itu tidak menjadikan mereka hamba-Nya yang bersyukur, sebaliknya terus jauh daripada Allah SWT. Mereka menyangka Allah SWT memberi segala-galanya meskipun mereka ingkar kepada-Nya.

Golongan yang diuji dengan istidraj kadangkala angkuh mengatakan: “Tengok aku tak solat, tetapi masih dapat naik pangkat,” “Engkau sentiasa ke masjid, tapi aku juga berjaya dalam peperiksaan”, “Tanpa restu ibu bapa, aku masih berjaya memperoleh apa yang dihajati.”

Semua contoh ungkapan itu adalah petanda ujian istidraj. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu melihat bahawa Allah memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat, ketahuilah orang itu menerima istidraj daripada Allah.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Lihat bagaimana Fir’aun yang memiliki segala nikmat dunia menyebabkan dirinya angkuh sehingga mengaku sebagai tuhan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Fir’aun pula berkata: Wahai pengikutku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang Tuhan yang lain daripadaku. Oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata serta binalah untukku bangunan yang tinggi supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu) dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa daripada orang yang berdusta.” (Surah al-Qasas, ayat 38)

Bagaimana kesudahan hidup Fir’aun? Segala nikmat yang diperolehnya langsung tidak memberi sebarang manfaat, sebaliknya Allah SWT membinasakannya dalam keadaan sangat hina.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dengan sebab itu Kami mengepungnya (Fir’aun) bersama-sama tenteranya serta Kami humban mereka ke dalam laut, maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang yang zalim.” (Surah al-Qasas, ayat 40)

Begitu juga bagaimana Allah SWT menguji hamba-Nya dengan nikmat dunia yang menjadikannya jauh daripada rahmat dan kasih sayang-Nya.

Istidraj bukan saja boleh berlaku kepada hamba-Nya yang tidak beriman, malah boleh terjadi kepada golongan yang tidak berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Allah menyatakan kepada Rasulullah SAW menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” (Surah al-Qalam, ayat 44)

Justeru, jangan persiakan setiap nikmat yang diterima dengan perlakuan mengundang kemurkaan Allah SWT. Bagi yang sedang diuji dengan kesempitan hidup, yakinlah nikmat Allah SWT akan datang dalam pelbagai bentuk kerana Allah tidak sesekali menzalimi hamba-Nya yang beriman.

Penulis Mohd Shahrizal Nasir adalah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu
TIDAK SOLAT TAPI BERJAYA - AWAS ITU "ISTIDRAJ"

No comments:

Post a Comment

H094 TERLALU MESRA DI DALAM GRUP WASSAP

SOALAN: Assalamualaikum wbt, Tuan, saya mahu bertanya. Bermesej dengan laki orang, bini orang ikut berwhatsapp dalam group whatsapp seko...