Monday, January 26, 2026

TAUBAT YANG MEMANASKAN HATI

Mak ayah,
pernah tak kita sibuk membetulkan anak, hingga terlupa bertanya apa yang perlu kita betulkan dalam diri sendiri?
Ada masa, masalah anak bukan bermula pada anak. Ia bermula jauh lebih awal — pada hati orang dewasa yang sedang memimpin.
-
Tak senang duduk hati ini sejak mendengar nasihat Ustazah Nurhafizah Musa semalam. Ada rasa ‘kesok’ yang sukar dijelaskan. Rasa yang tidak melukakan tubuh, tetapi pedihnya terasa jauh di dalam.
Ustazah berkongsi tentang makna taubat menurut Imam al-Ghazali rahimahullah.
Taubat itu adalah panasnya isi perut akibat dosa dan kesalahan yang pernah dilakukan.
-
Saat mendengarnya, terasa benar panas itu. Panas yang membakar kesedaran. Banyaknya dosaku, ya Allah. Menyesal.
Seolah-olah ada api yang menyala dalam hati. Luka lama yang tidak pernah benar-benar sembuh kembali berdenyut, mengingatkan tentang dosa dan maksiat yang pernah diremehkan.
-
Taubat bukan sesuatu yang ringan.
Ia bukan taubat sambal belacan — pedas sekejap, kemudian ulang kembali. Bukan taubat lenggang-kangkung, sekadar lafaz tanpa getar jiwa. Dan bukan juga taubat seperti melepaskan batuk di tangga.
-
Ada taubat yang di bibir laju beristighfar, tetapi hati sudah menyusun helah seterusnya. Di situ kita sedar satu perkara yang menampar perlahan:
Istighfar itu sendiri memerlukan istighfar.
-
Taubat nasuha mampu melembutkan hati yang keras. Menghidupkan hati yang mati. Dan menarik kita kembali kepada Allah dalam keadaan benar-benar bergantung.
.
Ustazah kemudian berkongsi satu kisah lama. Sewaktu beliau ziarah ke sebuah pesantren, berminggu-minggu di sana hingga bertemu seorang pak kiyai.
Anak-anak kiyai itu luar biasa. Mudah menghafal al-Quran. Namun ada seorang anaknya yang sangat ketagih gajet.
.
Pak kiyai membuat keputusan besar. Anak itu dihantar menghafal al-Quran dengan satu syarat — selagi belum khatam 30 juzuk, tidak dibenarkan pulang menjenguk ibu ayah. Walaupun suatu hari anak itu jatuh sakit teruk.
Segalanya diserahkan kepada jagaan madrasah. Ibunya diminta menguatkan hati dan bertawakal.
Hingga suatu hari, panggilan datang.
.
Anak itu sudah menjadi hafiz al-Quran — dalam tempoh setahun sahaja. Allahuakbar.
-
Ustazah berasa kagum. Kagum bagaimana anak yang asalnya melekat dengan telefon boleh berubah sedemikian rupa. Lalu beliau bertanya kepada pak kiyai:
“Bagaimana tuan mendidik anak dan membina keluarga baiti jannati?”
.
Jawapannya ringkas, tetapi berat untuk dilakukan.
“Kami juga berhempas pulas mendidik keluarga. Kami mencuba pelbagai cara. Hingga akhirnya kami kembali kepada satu keyakinan.
Ada satu jalan yang paling menyeluruh dan paling berat. Namanya: Taubat Nasuha.”
-
Mak ayah perlu bertaubat dengan sungguh-sungguh. Taubat yang membuatkan perut terasa panas, seperti yang disebut Imam al-Ghazali. Taubat yang membuatkan kita merintih mengenang kelalaian sendiri dalam membina keluarga.
.
Cuba kita bermuhasabah dengan jujur.
Pernahkah kita membawa sumber rezeki yang tidak halal atau syubhah ke dalam rumah? Sudahkah hak anak ditunaikan sebaiknya? Adakah kita menjadi teladan yang selari antara nasihat dan perbuatan? Sudahkah kita benar-benar memperkenalkan Allah dan Rasul-Nya kepada anak-anak — bukan sekadar dengan kata, tetapi dengan contoh hidup?
-
Mak ayah,
lazimilah taubat nasuha.
Bukan kerana kita ibu bapa yang gagal, tetapi kerana kita manusia yang sentiasa perlu kembali.
Untuk dosa zaman muda. Untuk khilaf ketika menafkahi keluarga. Untuk perkara kecil yang kita pandang ringan, sedangkan mungkin ia berat di sisi Allah.
.
Ada dosa yang menjadi hijab doa. Ada dosa yang menutup keberkatan usaha. Dan ada taubat yang membuka jalan tanpa kita sedari.
?
Kadang-kadang kita terlalu sibuk membetulkan anak, sedangkan Allah sedang memanggil kita untuk membetulkan diri.
Lebih baik kita menyesal di sini, dalam ruang yang masih ada harapan, daripada menyesal di sana, dalam keadaan yang sudah tiada peluang kembali.
-
Allah berfirman:
> “Dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah: 45)
Kerana solat bukan sekadar kewajipan. Ia tempat kita meletakkan penat, menangis tanpa perlu menjelaskan apa-apa, dan menyerahkan urusan yang terlalu berat untuk ditanggung sendirian.
-
Dan sebagai anak pula, jangan lupa bahawa doa kita adalah hadiah yang tidak pernah menyusahkan sesiapa.
.
Para ulama mewasiatkan agar doa untuk ibu bapa dilazimkan, sekurang-kurangnya setiap kali selepas azan.
Cukuplah dengan doa yang ringkas, tetapi berterusan:
رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ (5x)
“Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku.”
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَة (1x)
“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu keampunan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.”
اللّٰهُمَّ بَارِكْ لِي فِي أَوْلَادِي وَلَا تَضُرَّهُمْ وَوَافِقْهُمْ لِطَاعَتِكَ وَارْزُقْنِي بِرَّهُمْ (1x)
“Ya Allah, berkatilah anak-anakku, jangan Engkau mudaratkan mereka, kurniakan taufik untuk taat kepada-Mu, dan rezekikan aku dengan kebaikan mereka.”
Amin, ya Allah.
Dan andai hari ini hati masih terasa panas, itu mungkin tanda Allah belum menutup pintu.
Selagi rasa itu ada, selagi itulah jalan pulang masih terbuka.
Begitulah,
Menulis bukan sebab sempurna tapi sebagai hambaNya.

 

No comments:

Post a Comment

PUASA DAUD