Pagi tadi saya terbaca tips untuk jadi cantik sepanjang masa. Dan bagaimana untuk kekal muda walau kita sebenarnya dah renta.
Ngam-ngam saya baca post tu selepas terdengar Ustaz Nouman Ali Khan punya ceramah masa dalam kereta pagi tadi.
Ustaz huraikan tentang Surah An Nur.
Dalam Surah An Nur ni ada satu arahan khas pada lelaki. Dan pada perempuan.
Pada lelaki disuruh untuk menundukkan pandangan.
Pada perempuan pula disuruh untuk tidak bercantik berlebih-lebihan.
Tapi kata Ustaz masalahnya satu. Fitrah.
Orang lelaki fitrahnya suka dan tertarik pada benda yang cantik. Orang perempuan pula fitrahnya suka untuk kelihatan cantik.
Lalu kenapa dalam Surah An Nur arahan ini diletakkan.
Sebab ia tentang itulah. Nur. Cahaya.
Allah yang wujudkan fitrah itu. Tapi Allah juga yang meletakkan larangan ke atasnya.
Supaya orang yang kuat menjaga cahayanya akan menjaga apa yang diarahkan Tuhan ke atas dia. Sebab kita kena faham sifat cahaya. Ia perlu dijaga. Ia boleh malap bila-bila masa. Malah boleh padam jika tidak dijaga.
Kerana itu buatlah pilihan yang bijaksana. Ada batas-batas di setiap pilihan kita. Apa yang benar dan mana yang tipu daya. Mana yang nikmat sebentar dan mana yang lebih lama.
Lelaki yang faham akan menjaga mata.
Wanita yang faham akan cuba bersederhana.
Jika terlalu mengikut kata. Jika diturut semua rasa. Bimbang jadi hedonisme. Cuma perasaan kita saja yang utama. Cuma ingin kita saja perlu dikota. Cuma kehendak kita saja mesti dilaksana. Kita akan semakin mengejar dan mengejar seronoknya dunia.
Apa pun yang sedang diusaha niatkanlah untuk Tuhan dengan taat.
Supaya kita dibantu untuk membuat pilihan dengan tepat.
Menjadi tua. Tidak lagi bertenaga. Tidak lagi muda belia. Tidak lagi lincah ke sini sana. Juga fitrah yang Allah cipta. Juga nikmat untuk diraikan manusia. Supaya kita mula sedar tentang nilai masa.
Usia makin meninggalkan kita.
No comments:
Post a Comment