Saturday, March 22, 2025

QADHA SOLAT TIDAK IKUT TERTIB

SOALAN :
Hukum qadha solat fardu yang kita tinggal itu adalah wajib. Soalan saya adakah wajib juga kita qadha dengan mengikut tertib waktu-waktunya?
Dan adakah wajib diqadha dengan segera?

JAWAPAN :
Tidak disyaratkan qadha solat lima waktu yang ditinggalkan itu dengan mengikut tertib waktunya olih itu harus dia qadha pada bukan waktunya seperti qadha solat zuhur dalam waktu asar dan qadha solat maghrib dalam waktu subuh atau yang seumpamanya.

Dan wajib qadha dengan segera jika ditinggalkan tanpa uzur dan sunat diqadha dengan segera jika luput ia sebab uzur.

Berkata Imam As-Syairazi :‏
مَنْ وَجَبَتْ عَلَيْهِ الصَّلَاةُ فَلَمْ يُصَلِّ حَتَّى فَاتَ الْوَقْتُ لَزِمَهُ قَضَاؤُهَا لِقَوْلِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏"مَنْ نَامَ عَنْ صَلَاةٍ أَوْ نَسِيَهَا فَلْيُصَلِّهَا إذَا ذَكَرَهَا"‏ وَالْمُسْتَحَبُّ أَنْ يَقْضِيَهَا عَلَى الْفَوْرِ لِلْحَدِيثِ الَّذِي ذَكَرْنَاهُ،‏ فَإِنْ أَخَّرَهَا جَازَ لِمَا رُوِيَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاتَتْهُ صَلَاةُ الصُّبْحِ فَلَمْ يُصَلِّهَا حَتَّى خَرَجَ مِنْ الْوَادِي،‏ وَلَوْ كَانَتْ عَلَى الْفَوْرِ لَمَا أَخَّرَهَا‏.‏ وَقَالَ أَبُو إسْحَاقَ إنْ تَرَكَهَا بِغَيْرِ عُذْرٍ لَزِمَهُ قَضَاؤُهَا عَلَى الْفَوْرِ،‏ لِأَنَّهُ مُفَرِّطٌ فِي التَّأْخِيرِ ‏وَإِنْ فَاتَتْهُ صَلَوَاتٌ‏ وَالْمُسْتَحَبُّ أَنْ يَقْضِيَهَا عَلَى التَّرْتِيبِ،‏ ‏ لِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاتَتْهُ أَرْبَعُ صَلَوَاتٍ يَوْمَ الْخَنْدَقِ فَقَضَاهَا عَلَى التَّرْتِيبِ،‏ فَإِنْ قَضَاهَا مِنْ غَيْرِ تَرْتِيبٍ جَازَ لِأَنَّهُ تَرْتِيبٌ اُسْتُحِقَّ لِلْوَقْتِ فَسَقَطَ بِفَوَاتِ الْوَقْتِ كَقَضَاءِ الصَّوْمِ‏.‏ وَإِنْ ذَكَرَ الْفَائِتَةَ وَقَدْ ضَاقَ وَقْتُ الْحَاضِرَةِ لَزِمَهُ أَنْ يَبْدَأَ بِالْحَاضِرَةِ لِأَنَّ الْوَقْتَ تَعَيَّنَ لَهَا فَوَجَبَتْ الْبِدَايَةُ بِهَا، كَمَا لَوْ حَضَرَهُ رَمَضَانُ وَعَلَيْهِ صَوْمُ رَمَضَانَ قَبْلَهُ وَلِأَنَّهُ إذَا أَخَّرَ الْحَاضِرَةَ فَاتَتْ فَوَجَبَتْ الْبِدَايَةُ بِهَا

Artinya : “Siapa yang wajib atasnya solat lalu tidak dia kerjakan sehingga habislah waktunya maka wajib dia qadhanya kerana sabda Nabi sollallahu alaihi wasallam :

مَنْ نَامَ عَنْ صَلَاةٍ أَوْ نَسِيَهَا فَلْيُصَلِّهَا إذَا ذَكَرَهَا

Artinya : “Barang siapa tidur dari satu solat atau lupakannya maka hendaklah dia kerjakannya apabila dia mengingatinya.”

Yang disunatkan ialah ia qadha dengan segera kerana hadith tersebut.

Maka jika dia lambatkan qadhanya nescaya hukumnya adalah harus kerana suatu hadith yang diriwayatkan bahawa Nabi sollallahu alaihi wasallam telah terluput satu solat subuh maka tidak dia kerjakannya melainkan selepas keluar dia dari perkampungan. Jikalau wajib qadha dengan segera nescaya tidaklah dia lambatkan menunaikannya.

Berkata Imam Abu Ishak : Jika dia tinggalkan tanpa uzur maka wajib atasnya qadha dengan segera kerana dia telah melampau sebab melambatkannya.

Dan jika dia luput beberapa solat maka yang sunat bahawa dia qadha mengikut tertib kerana bahawasanya Nabi sollallahu alaihi wasallam telah luput empat solat pada hari perang Khandak maka baginda kerjakannya mengikut tertib.

Maka jika seorang itu qadha akan solat tidak mengikut tertib maka hukumnya adalah harus dari kerana tertib itu mustahak ia dalam waktu maka apabila waktu telah habis nescaya gugurlah tertib dengan gugurnya waktu seperti pada masalah qadha puasa.

Maka jika seorang itu telah ingat akan solat yang luput itu dan telah sempit waktu maka wajib dia kerjakan solat yang hadir kerana waktu itu tertentu baginya maka wajib memulakan denganya dahulu.

Sama seperti apabila datang Ramadhan yang baru sedangkan dia ada qadha Ramadhan yang lepas maka hendaklah dia puasa Ramadhan yang baru datang kerana jika dia lambatkan puasa yang baru nescaya akan luput ia maka wajib dia mulakan dengan puasa yang baru terlebih dahulu.” (Kitab Al-Muhazzab)

wallahua’lam
ustaz azhar idrus

Sumber FB Ustaz Azhar Idrus 

No comments:

Post a Comment